Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Saturday, July 12, 2008

Kekuatan Hati

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah s.w.t., Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Muhammad s.a.w dan para sahabat Baginda r.anhum.

Kecoh seketika dunia Islam di Malaysia apabila 2 peristiwa membabitkan tokoh agama iaitu ustaz dan ustazah terlibat dalam suatu perkara yang sangat menakjubkan. Ustazah ditangkap khalwat, ustaz dituduh membunuh.

Penulis lebih suka untuk memfokuskan kepada kes yang melibatkan sebuah pusat pemulihan akidah yang agak terkenal (kerana selalu masuk dalam majalah) yang mana semakin terkenal dengan laporan besar-besaran akhbar arus perdana. kes dera sehingga membawa kepada kematian.

Penulis secara peribadi menolak kaedah dan metodologi yag digunakan oleh para pendidik dan ustaz di pusat tersebut yang agak keras dari segi pentarbiahannya. Sebelum ini, penulis selalu membaca dan melihat video rakaman bagaimana tarbiah dilakukan di situ. Ada antara penghuni direndam di dalam kolam, dipukul, dimaki hamun dan sebagainya dengan alasan untuk menjadikan jiwa mereka kuat terhadap agama dan menghalau kemungkaran dalam diri mereka.

Berbalik kepada sabdaan Nabi s.a.w " Ketahuilah, bahawa dalam diri manusia itu ada seketul darah / daging, jika baik ia maka baiklah seluruh anggota badan. Jika buruk ia maka buruklah seluruh anggota. Ketahuilah ianya adalah hati". Nabi s.a.w. telah menunjukkan dengan jelas kepada seluruh umat bagaimana mahu membaiki akhlak, budi bahasa, amalan, ibadat dan sebagainya. Namun, umat hari ini telah ramai yang berlagak cerdik, seolah2 lebih pandai daripada seorang nabi dengan membuat sesuatu perkara mengikut hawa nafsu lalu dinisbahkannya kepada agama. Inilah salah satu bentuk penipuan yang zalim terhadap agama.

Agama itu mudah. Namun, ramai orang telah mengambil jalan yang susah dengan alasan mencapai tahap kesempurnaan agama. Akibatnya, ramai manusia telah mempermudahkan urusan agama. Solat hanya perlu niat, nikah batin, yuran tebus dosa dan segala macam perkara baru telah berlaku dalam amalan agama.

Sebaliknya, jika kita menghalusi sabdaan dan sunnah perbuatan Nabi s.a.w. itu sendiri, maka kita akan dapat menilai betapa indahnya Islam itu.

Kemunculan awal Islam perlu dilihat sebagai satu titik penting ke arah perubahan bangsa Arab yang suatu masa dahulu terkenal dengan budaya Jahiliyyahnya. Apabila disebut budaya, maka sudah tentulah ianya sesuatu amalan yang telah menjadi darah daging. Bukan semudah disangka untuk membuang segala amalan tersebut apatah lagi yang melibatkan kepercayaan akidah.

Namun Nabi s.a.w. telah membawa satu pendekatan membentuk hati umat Islam yang awal kepada keyakinan yang jitu terhadap keesaan Allah s.w.t. Hasilnya, tidak sampai 10 tahun usaha di Mekah, Nabi s.a.w. telah berjaya melahirkan tokoh2 gemilang dalam Islam yang sanggup mati demi memperjuangkan agama. Sebutlah nama Sumayyah, Keluarga Yasir, Bilal bin Rabah, Ummu Syarik, Hamzah bin Abi Talib r.anhum dan ingatlah segala pengorbanan mereka untuk agama.

Apakah asasnya? Sudah tentulah asasnya adalah Iman. Iman yang telah ditanam jitu oleh Nabi s.a.w. ke dalam hati para sahabatnya sehinggakan mereka lebih mengutamakan Allah dan RasulNya daripada segala2nya. Itulah juga yang diusahakan oleh Nabi s.a.w. selama berada di Mekah sebelum turunnya syariat dan perintah hukum hakam yang lain.

Dalam menangani gejala umat yang semakin rosak pada masa kini, hendaklah kita kembali melihat kepada sejarah yang telah dilalui oleh Nabi dan para sahabat. Tidak perlu merekacipta peraturan dan kaedah sendiri. Seperti kata ahli fikir, jika kita ingin berjaya, maka kita kena meniru cara orang yang telah berjaya. Jika kita ingin berjaya dalam perniagaan, maka kita perlu meniru cara ahli perniagaan yang berjaya. Begitu juga sebaliknya.

Hati merupakan suatu tempat antara iman dan kufur. Jika kita menempatkan iman di dalam hati, maka kekufuran akan hilang. Sebaliknya, jika kita tidak berusaha meningkatkan iman, maka kita seolah2 membiarkan hati kita seumpama tanah lapang yang tiada ditanam apa2 jua tanaman, dan akhirnya lalang mula tumbuh. Pokok2 kecil menjalar sehingga menjadi sebuah belukar. Maka pada ketika itu, hati seolah2 menjadi keras dan agak sukar untuk memulihkannya.

Cara pemulihannya, kita perlu menebang dahulu pokok2, meracun lalang2 sehingga tiada tumbuhan perosak. Maka ketika itulah, jika kita menanam pohon buah2an, maka ia akan tumbuh segar tanpa halangan daripada rumpai dan lalang.

Hati ini diibaratkan sebuah tanah yang kosong. Kita tidak boleh meletakkan iman dan nafsu sekali, malaikat dan syaitan bersama. Kerana ia hanya akan mewujudkan suatu penyakit yang lebih kronik iaitu syirik.

Dalam kalimah syahadah kita, kalimah nafi didahulukan daripada kalimah isbat. Kalimah "Laa Ilaah" (Tiada Tuhan) adalah kalimah nafi manakala kalimah "Illallah" (Melainkan Allah) adalah kalimah isbat. Maka ada ulamak mensyaratkan bahawa, mengeluarkan segala kerosakan dan keburukan dalam hati perlu didahulukan daripada membentuk hati dengan perkara kebaikan. Namun, sebagai umat akhir zaman, kita perlu melakukan perkara ini bersama. Antara cara paling mudah yang diajarkan oleh Allah s.w.t. adalah dengan melakukan banyak amalan kebaikan. Ini kerana amalan kebaikan akan menghapuskan amalan kejahatan. Selain itu, perbetulkan solat kita dari sudut syariat dan hakikat iaitu perlu mengetahui sah dan batalnya serta meningkatkan tahap kekhusyukan. Ini juga dijelaskan di dalam al-Quran yang mengatakan bahawa solat itu akan dapat menghalang daripada perkara keji dan mungkar.


Didiklah hati kita dengan suasana Iman. Di saat suasana kelalaian semakin merebak sehingga ke dalam rumah, kita perlu mencari suatu suasana yang boleh memantapkan lagi Iman kita. Suasana itu tidak akan diperolehi kecuali di masjid. Jadikanlah masjid sebagai rumah kita. Banyakkan masa dalam suasana masjid. Semoga dengan menghabiskan banyak masa berada dalam suasana Iman, maka keimanan kita dapat ditingkatkan.

Semoga Allah memelihara Iman kita sehingga ke akhir hayat.