Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Friday, August 15, 2008

Rahsia Silam Rahsia Semalam

Assalamualaikum…

Segala puji bagi Allah s.w.t., Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat Baginda r.anhum.

Dinamakan insan itu insan disebabkan manusia itu seorang pelupa. Tiada yang sempurna melainkan sentiasa melakukan kesilapan. Rasulullah s.a.w. bersabda “ Setiap kamu adalah tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, dan sebaik2 orang yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat”.

Tiada siapa boleh mendabik dada bahawa mereka itu tidak berdosa. Hanya para nabi dan malaikat sahaja yang maksum (terpelihara daripada dosa). Jika tidak terlibat dengan dosa besar sekalipun pasti tidak akan terlepas daripada dosa kecil. Maha Suci Allah yang telah mengurniakan suatu rahmat yang sangat besar buat semua manusia iaitu taubat. Sebesar mana kesalahan sekalipun akan diampunkan oleh Allah s.w.t. jika bertaubat kecuali dosa mensyirikkanNya.

Suatu perbuatan dosa merupakan keaiban bagi diri mereka yang melakukan perbuatan tersebut. Rasulullah s.a.w. melarang menyebarkan keburukan dan keaiban seseorang apatah lagi menyebarkan keburukan sendiri. Bukan dengan tujuan hendak menunjuk atau berlagak baik, namun implikasi penyebaran keburukan ini sebenarnya sangat besar dalam pembentukan masyarakat yang berakhlak dengan nilai murni.

Atas nama kejujuran, kadangkala kita tersilap dalam membuat pertimbangan sehingga melahirkan keputusan yang bakal membuatkan kita menyesal seumur hidup. Seluruh akal fikiran dan perbuatan kita hendaklah diselaraskan mengikut kehendak agama. Kadangkala apa yang kita sukai tak semestinya itu yang terbaik buat kita. Sebaliknya perkara yang kita benci itu mungkin menjadi ubat yang paling mujarab untuk kesihatan rohani kita.

Kita ini hanyalah penganut dan pengikut. Dan bukannya pereka cipta dalam hal berkaitan agama. Cukuplah sekadar kita sedaya upaya mengikuti segala ajaran Islam, maka kita akan terselamat di dunia dan akhirat. Akal manusia amat terhad untuk berfikir. Majoriti tidak bermakna suatu kebenaran. Islam menolak konsep demokrasi yang mementingkan pendapat setiap ahli dalam sesuatu masyarakat.

Dalam suatu kitab ada menceritakan kisah sebuah kapal yang sedang dalam pelayaran yang terkandas di sebuah pulau. Tiada yang terselamat kecuali seorang. Apabila mendarat di pulau tersebut, dia mendapati terdapat suatu budaya pelik dilakukan oleh penduduk setempat. Keseluruhan penduduk yang hidup di pulau itu tidak mempunyai hidung! Suatu yang pelik.

Menurut mereka, hidung mereka dipotong semenjak lahir untuk tujuan kecantikan. Selama beberapa tahun mendiami pulau tersebut, hampir setiap hari dia dipandang pelik dan jelik oleh penduduk setempat kerana hanya dia seorang mempunyai hidung. Akhirnya, setelah sekian lama menetap, dia mengambil keputusan untuk memotong hidungnya kerana berasakan itulah tindakan terbaik supaya tidak dianggap sebagai manusia yang pelik. Dia telah terlupa akan negara asalnya.

Hingga tiba suatu masa, satu rombongan pedagang telah singgah ke pulau itu untuk mencari bekalan. Dia memutuskan untuk mengikut rombongan tersebut untuk pulang ke negara asalnya. Apabila tiba di negaranya, dia mendapati kehadirannya disambut dengan pandangan pelik. Sama seperti ketika mula2 terdampar di pulau suatu ketika dulu. Ini kerana dia tidak mempunyai hidung. Tidak seperti penduduk di situ yang lengkap sifat dan anggota. Pada ketika itu, dia tidak mampu lagi berbuat apa2 kerana dia sendiri yang telah membuat keputusan memotong hidung kerana terpengaruh dengan keadaan sekeliling di pulau tersebut.

Walaupun kisah ini mungkin suatu kisah rekaan, namun pengajaran yang dapat diambil amat bernilai. Akibat daripada terpengaruh dengan majoriti, kita seakan terlupa hakikat kebenaran. Kesilapan yang telah dilakukan menjadi suatu penyesalan buat seumur hidup.

Kita semua akan kembali kepadaNya. Dalam keadaan baik mahupun buruk, bersedia atau tidak, ia suatu hakikat yang mesti kita terima. Oleh itu, perkara terbaik yang bakal kita bawa ke akhirat hanyalah kepercayaan dan amalan yang bertepatan mengikut syariat. Allah s.w.t. telah menghantar Nabi s.a.w. sebagai petunjuk kebenaran. Sejauh mana kita mengikuti amalan Baginda, maka sebanyak itulah kejayaan yang bakal kita capai.

Berbalik kepada perbincangan kita berkaitan kerahsiaan, tidak dapat tidak kita perlu mengikuti segala apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. sama ada melalui perbuatan mahupun perkataan Baginda. Terlalu banyak beremosi dan berfantasi berkaitan sesuatu tindakan bakal menjerumuskan kita dalam masalah yang besar. Mungkin kita banyak membaca panduan dan nasihat daripada para kaunselor, namun perlu diperhatikan sejauh mana nasihat tersebut bertepatan dengan ajaran Islam yang sebenar.

Sejarah hitam atau apa jua nama yang kita berikan kepada segala keaiban yang kita lakukan pada masa silam perlu dirahsiakan. Kita boleh berkongsi masalah demi melegakan sedikit perasaan bersalah mahupun tekanan yang dihadapi akibat kesilapan kita pada masa lalu. Namun harus diperhatikan kepada siapa kita mengadu. Sebaik2 tempat mengadu hanyalah pada Allah s.w.t. kerana Dia sahaja yang Maha Mengetahui segala perkara tersurat mahupun tersirat. Dan hanya Allah sahaja dapat menyelesaikan segala masalah kita.

Implikasi akibat tersebarnya amalan keburukan ini amat besar. Antaranya kita mungkin pada suatu hari nanti akan berbangga dengan amalan kejahatan tersebut. Mungkin kita pernah dengar dialog seperti “Alah…aku dulu lagi jahat daripada dia” ataupun “Aku dulu macam2 kejahatan aku pernah lakukan”. Berbangga dengan kejahatan merupakan suatu perkara yang dikutuk dalam Islam. Jika perkara tersebut disebarkan oleh seorang ketua kampung, mungkin suatu hari nanti anak2 kariahnya akan terdorong untuk melakukan perkara yang sama. Jika diceritakan oleh ayah kepada anak, mungkin suatu hari nanti anak itu akan mengikut jejak langkah ayahnya dengan beranggapan bahawa ianya suatu percubaan masa muda. Alangkan ayahnya sempat bertaubat. Sedangkan kita tidak mengetahui saat bila kematian bakal menjemput.

Selain itu, ia bakal menimbulkan tanggapan buruk masyarakat terhadap seseorang yang telah bertaubat. Si isteri akan hilang sebahagian kepercayaan terhadap suaminya, menyebabkan tingkah laku isteri akan berubah dan mendorongnya untuk kurang menghormati suaminya. Tidak semua orang boleh menerima kesilapan masa lalu walaupun hakikatnya dia telah bertaubat. Paling tidak gurisan itu pasti melekat dalam hati. Jika terjadi sesuatu perkara seperti salah faham, habis segala kisah lalu akan diungkit. Akhirnya tamatlah sudah keharmonian dalam masyarakat.

Seorang pencuri yang telah bertaubat, pasti akan dianggap sebagai pencuri buat selama2nya. Jika berlaku kecurian di kawasan kejiranan, pastilah dia orang yang pertama yang akan dituduh dan disoal siasat. Sanggupkah kita menghadapi segala perkara seperti ini? Pepatah Melayu “bagai anjing buruk kepala” cukup untuk menggambarkan situasi masyarakat Melayu yang sukar menerima perubahan. Terutama daripada seorang yang jahat menjadi baik. Paling tidak akan dituduh berpura2 baik dsb.

Seorang suami yang mengetahui rahsia silam isterinya yang pernah berzina dengan kekasih lama sebelum berkahwin dengannya mungkin akan tercabar keegoaannya lalu bertindak membuat hubungan sulit dengan wanita lain demi memenuhi perasaan dendamnya terhadap isterinya. Lihatlah! Dimanakah kebaikannya berterus-terang akan kesilapan yang lalu?

Di dalam sebuah hadis yang agak masyhur, diceritakan kisah seorang yang telah membunuh 99 orang. Hinggalah datang petunjuk Ilahi kepadanya, dia ingin bertaubat. Ditemuinya seorang pendeta untuk bertaubat. Namun pendeta itu berkata tiada ruang untuknya bertaubat kerana kesalahannya terlalu besar. Pendeta ini mewakili pendirian masyarakat secara umumnya. Akibat daripada itu, dia telah membunuh pendeta tersebut lalu berjumpa seorang alim.

Orang alim itu berkata bahawa rahmat dan keampunan Allah itu lagi besar daripada segala dosanya. Beliau mencadangkannya supaya meninggalkan tempat tinggalnya dan berpindah ke suatu tempat asing yang tiada orang mengenalinya. Ini bagi memudahkan segala urusannya untuk bertaubat dan berubah menjadi seorang manusia yang berguna. Dia bersetuju dengan cadangan tersebut.

Di pertengahan jalan, dia telah menemui ajal. Malaikat rahmat dan malaikat azab saling berebut untuk mengambil jasad tersebut dengan dakwaan kepunyaan masing2. Malaikat azab menganggap dosanya masih belum diampunkan sedangkan malaikat rahmat menganggap dia telah berazam untuk bertaubat. Selayaknya dia mendapat keampunan.

Maka Allah s.w.t. memerintahkan supaya diukur jarak mayatnya dari tempat kematiannya ke tempat yang hendak dituju dan tempat tinggal asalnya. Jika hampir dengan tempat tinggal asalnya, maka ruhnya kepunyaan malaikat azab. Sebaliknya jika lebih hampir jaraknya dengan tempat yang dituju, maka ia kepunyaan malaikat rahmat. Dipendekkan cerita, jaraknya dengan tempat yang hendak dituju lebih dekat. Maka dia telah mendapat rahmat dan keampunan Allah s.w.t.

Daripada kisah ini, kita dapat mengambil beberapa pengajaran. Antaranya kita dapat memahami bahawa niat yang baik akan mendapat ganjaran walaupun belum lagi melakukan amalan kebaikan tersebut. Jika melakukan kebaikan, maka kita akan mendapat ganjaran berganda, ganjaran niat dan amalan kebaikan. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud “Sesungguhnya amalan kebaikan akan menghapuskan segala amalan kejahatan”. Ini merupakan suatu kaedah untuk menebus segala dosa silam kita. Lakukan amalan kebaikan dan kebajikan dengan ikhlas sebanyak mungkin. InsyaAllah, Allah akan memberikan kita ketenangan dalam hati.

Selain itu, meluahkan masalah kepada orang yang tepat akan dapat menghasilkan keputusan yang tepat. Dalam kisah tadi, kita mendapati bahawa dia tidak bertemu dengan orang yang sepatutnya dapat membantu menyelesaikan masalahnya. Akibatnya dia telah terjebak dalam satu lagi kesalahan. Jika kita aplikasikan dalam kehidupan kita, kesilapan menceritakan kesilapan lalu kepada rakan2, pasangan, ipar duai dsb mungkin membuatkan kita terpaksa menanggung masalah baru. Hati manusia tidak boleh dijangka.

Kadang2 kita terfikir, kenapa suatu nasihat yang sama tapi diberikan oleh orang yang berlainan akan memberikan kesan yang berbeza. Umpamanya jika kita meminta nasihat daripada ulamak berkaitan masalah rumahtangga, baik isteri mahupun suami akan mudah menerima nasihat dan cadangannya. Sebaliknya jika nasihat yang sama diberikan oleh suami kepada isteri dan sebaliknya, mungkin semakin memburukkan keadaan. Semua ini ada kaitannya dengan hati.

Jika kita membuka hati kita untuk menerima pandangan dan nasihat, maka kita akan mendapat manfaat daripada nasihat tersebut. Apabila kita berjumpa dengan kaunselor dan ulamak, kita telah membuka minda dan hati kita untuk menerima segala nasihat yang diberikan. Kadangkala, pemberi nasihat juga gagal memberikan nasihat yang berkesan disebabkan keikhlasan di hati tiada. Nasihat yang diberikan lebih berbentuk sindiran dan kutukan menyebabkan hati orang yang meminta nasihat tersebut semakin hancur. Ini merupakan soal hati. Hanya hati sahaja yang akan berbicara dengan hati.

Selain itu, antara kaedah untuk bertaubat dan memulakan kehidupan baru yang lebih baik adalah dengan berhijrah meninggalkan komuniti tempat dia biasa melakukan maksiat ke tempat baru yang tiada orang mengenalinya. Dengan cara ini, rahsia silamnya akan tersimpan. Masyarakat sekeliling yang baik pasti akan memudahkannya untuk melakukan kebaikan. Jika di tempatnya dahulu, hendak pergi ke masjid pun akan disindir jiran dan rakan, maka bagaimanakah hati akan menahan segala dugaan tersebut? Akibatnya kita akan tetap meneruskan kegiatan lama dengan anggapan tiada ruang untuk kita bertaubat.

Ditakdirkan kita dapat menjalani kehidupan yang baik di tempat baru. Tapi, bagaimana jika suatu hari nanti rahsia kita terbongkar? Mungkin dibongkarkan oleh orang yang mengenali kita? ‘Suatu hari’ yang kita takuti itu belum lagi berlaku. Jangan bertindak melulu dengan sesuatu perkara yang belum pasti akan berlaku. Kita perlu serahkan segalanya pada Allah s.w.t. Hanya Allah sahaja yang boleh membantu kita.

Jika ditakdirkan suatu hari nanti rahsia silam kita terbongkar, maka terimalah dengan hati yang tabah. Pada ketika itu, jangan disalahkan takdir. Mungkin ada kebaikan tersembunyi di sebaliknya. Kita hanya menjalankan tugas mengikut syariat (menyembunyikan keburukan lalu). Soal kesan dan natijah serahkan sahaja pada Allah. Jika suatu hari nanti kita dipersoalkan oleh isteri atas rahsia lampau kita yang dirahsiakan daripadanya, fahamkan isteri bahawa itu merupakan suatu amanah dalam agama. Jika ditakdirkan terpisah, maka terimalah dengan redha. Yang penting kita meletakkan kehendak agama di hadapan melebihi kehendak isteri dan sesiapa sahaja.

Islam menggalakkan supaya menyebarkan segala kebaikan. Supaya dengan tersebarnya kebaikan, manusia akan terdorong untuk melakukannya. Umat Islam di akhir zaman ini kebanyakannya beriman dengan suasana. Jika mereka berada dalam suasana kebaikan, maka akan menggerakkan hati dan anggota mereka untuk melakukan kebaikan.

Perkara ini boleh kita lihat di sekeliling kita. Jika aktiviti keagamaan aktif di sesuatu kawasan, maka penduduk di situ tidak segan silu untuk datang ke masjid bagi mengikuti segala aktiviti yang dijalankan. Sebaliknya jika masjid itu hanya ada solat berjemaah waktu maghrib dan isyak sahaja, maka kita akan mendapati bahawa solat zuhur dan asar tiada orang yang mahu bersolat di masjid walaupun terdapat ramai lagi orang yang mungkin tidak bekerja mahupun bercuti. Ada antara mereka memberi alasan tak nak orang kata alim dan warak.

Apabila keburukan disebarkan, maka kita mendapati bahawa ia akan menjadi suatu fenomena. Jika hari ini disiarkan berita pembuangan bayi, maka pasti akan dituruti pada hari2 yang lain. Ini kerana hati manusia ini seumpama tanah lapang. Jika dibiarkan tanpa diusahakan, maka akan tumbuhlah lalang, belukar dan seterusnya hutan rimba. Akhirnya akan dipenuhi dengan binatang liar dan berbisa. Ini kerana suasana persekitaran akan mempengaruhi hati manusia.

Kebaikan yang paling mudah disebarkan adalah memberi salam kepada orang yang dikenali mahupun tidak dikenali. Dengan menyebarkan salam, maka kita telah menyebarkan doa kebaikan kepada umat Islam. Tidak perlu dialog panjang berjela, cukuplah dengan lafaz yang ringkas. Ini akan menggalakkan kebaikan dan mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam.

Allah Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati kita. Serahkan segala urusan kita pada Allah s.w.t. Allah akan menyelesaikan segala masalah kita. Kita hanya bertanggungjawab untuk melakukan tugasan yang diamanahkan. Berdoa dan memohon ampun serta kebaikan daripada Allah semoga hidup kita akan sentiasa diliputi dengan rahmat dan berkat. Diampunkan segala dosa dan dimasukkan di kalangan orang2 yang beriman dan beramal soleh.

Wallahua’lam.

Tuesday, August 5, 2008

Mencapai Keredhaan Allah dalam Rumahtangga

Assalamualaikum…

Segala puji bagi Allah s.w.t., Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat Baginda r.anhum.

Sesebuah perkahwinan dibina atas dasar mengharapkan kebahagiaan dalam melayari bahtera kehidupan di dunia dan akhirat. Matlamat akhir perkahwinan adalah supaya perhubungan yang dibina di atas dunia ini dapat diteruskan sehingga ke syurga. Bunyinya agak mudah, namun perjalanannya sungguh berliku dan mencabar.

Apabila bersatu dua pasangan dalam sebuah perkahwinan, maka telah bertambah satu lagi tanggungjawab yang terpaksa dipikul berbanding semasa bujang dahulu. Iaitu tangggungjawab terhadap pasangan. Kegagalan menjalankan tanggungjawab ini bakal menyebabkan salah seorang daripada pasangan tersebut menempah musibah yang amat besar di akhirat kelak.

Terlalu banyak jika mahu diperincikan akan tanggungjawab tersebut. Seharusnya bakal menjadi sebuah kitab dan tidak dapat dipenuhi dengan sekadar membaca penulisan artikel yang amat terhad. Namun bak kata pepatah Melayu, “tiada rotan akar pun berguna”. Manfaat hanya akan diperolehi apabila kita mengamalkan segala ilmu yang kita tahu. Bukan kuantiti ilmu yang diperlukan, sebaliknya kualiti. Rahmat dan pertolongan Allah hanya akan hadir kepada mereka yang bersifat dengan kesolehan, dan bukannya dengan amalan soleh itu sendiri. Maksudnya, pertolongan Allah akan bersama dengan orang2 yang bersifat ihsan, muttaqin (bertaqwa), muhsin (melakukan kebaikan) dan sebagainya. Sifat2 ini terhasil daripada amalan kesolehan seperti solat yg khusyuk, amalan sunat, mempelajari ilmu dan sebagainya. Oleh itu, tidak pernah kita menjumpai ayat “Allah bersama dengan orang yang solat, puasa, membayar zakat dsb” melainkan Allah akan bersama dengan sifat2 kesolehan yang ada dalam diri.

Antara faktor terpenting kerukunan rumahtangga adalah ketaatan. Saidina Ali r.anhu pernah berkata “Jika seorang isteri itu mentaati suaminya, maka sebelah kakinya telah melangkah ke dalam syurga. Sebelah lagi akan melangkah jika dia mentaati segala perintah Allah”. Dalam hal ini, 2 ketaatan perlu dilakukan iaitu ketaatan kepada Allah dan ketaatan kepada suami.

Dalam hal kepatuhan kepada segala perintah Allah, ini tidak jauh bezanya sama ada wanita itu bergelar isteri mahupun masih bujang. Seorang wanita masih perlu melaksanakan syariat seperti menutup aurat, menjaga maruah, melaksanakan amalan fardhu dan yang sunat dsb. Cuma, apabila seorang wanita itu telah bertukar status kepada status isteri, maka pada kebanyakan amalan sunat yang biasa dilakukannya, dia perlu menyesuaikan dengan keadaan supaya tidak bertembung dengan keinginan suaminya.

Seorang wanita perlu meminta izin suami sekiranya ingin melakukan puasa sunat. Ditakuti akan mengganggu tanggungjawabnya terhadap suami selain mengelakkan salah faham yang bakal menggugat keharmonian rumahtangga. Amalan sunat yang lain seperti solat, membaca quran dsb boleh dilakukan apabila segala tanggungjawab rumahtangga telah diselesaikan. Ini kerana seorang isteri perlu bersedia pada bila2 masa yang diperlukan untuk berkhidmat kepada suaminya.

Mengenai ketaatan kepada suami, ia hanyalah meliputi kepada perkara2 yang tidak menyalahi syarak. Jika suami menyuruh melakukan perkara yang haram, maka tidak wajib mentaatinya bahkan hukumnya haram mentaatinya. Sabda Nabi s.a.w. “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam melakukan maksiat kepada Allah”.
Suatu hal yang perlu diteliti dan diperjelaskan di sini, hukum sesuatu perkara banyak berubah mengikut keadaan. Umpamanya dalam hal mentaati perintah suami, walaupun pada asalnya hukum melakukan sesuatu tersebut adalah harus, namun jika diminta oleh suaminya, maka ia telah bertukar menjadi wajib. Jika tiada alasan syari’e yang menguzurkan isteri untuk mentaati permintaan suaminya, maka si isteri tersebut akan menanggung dosa.

Sebagai contoh, memasak dan membasuh bukanlah tanggungjawab isteri, namun jika diminta oleh suami maka ia telah menjadi tanggungjawab untuknya dalam melaksanakan permintaan suami. Dalam hal ini, suami isteri boleh berbincang sama ada untuk bertolak ansur dengan melakukan penggiliran tugasan, mahupun mengambil pembantu rumah dsb. Jika tiada keuzuran apa2, umpamanya isteri hanyalah suri rumah dan sihat tubuh badan, maka wajib bagi isteri untuk mematuhi permintaan suaminya. Sebaliknya, jika isteri bekerja ataupun mengalami masalah kesihatan, sangat perlu untuk berbincang dengan suami supaya suami tidak tersalah anggap dan menyebabkan dosa kepada isteri yang enggan melakukannya.

Suami itu adalah ketua bagi rumahtangga. Manakala isteri adalah pengurus yang menguruskan rumahtangga mengikut kehendak dan keinginan suami. Biar apa pun status sosialnya, tidak menghalang isteri untuk menghormati dan menunaikan hak sewajarnya. Persefahaman dala perkahwinan hanya akan wujud apabila suami dan isteri memahami dan menunaikan hak masing2 terhadap pasangan. Hak yang paling utama bagi isteri terhadap suaminya adalah mentaatinya. Tanpa ketaatan, maka persefahaman tidak mungkin wujud.

Apabila seorang isteri menyedari kehebatan suaminya sebagai ketua keluarga, dengan sendirinya perasaan hormat dan redha akan wujud. Dengan sifat inilah isteri bakal mencorakkan rumahtangganya ke jalan yang diredhai Allah.

Nabi s.a.w. bersabda “ Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kerana sesungguhnya aku telah melihat wanita adalah penghuni neraka yang paling ramai.”Apabila ditanya mengapa mereka menjadi penghuni neraka yang paling ramai, Baginda menjawab, “Kamu banyak mengumpat dan kamu tidak bersyukur kepada suami-suamimu”.

Rendahkanlah hati dalam mentaati perintah suami. Jangan kita meletakkan ego pada tempat yang tidak sepatutnya. Terlalu banyak kes perceraian yang disebabkan oleh isteri yang terlalu ingin menunjuk pandai kepada suaminya. Hinggakan suami dipandang seperti sampah yang tidak berguna.

Ada juga yang malu dengan status sosial suami yang bekerja dan bergaji rendah. Akibat daripada memandang rendah kepada suami sendiri, maka isteri telah mencari jalan keluar dengan mengadakan hubungan sulit bersama lelaki lain. Mengumpat suami sendiri telah menjadi lumrah di kalangan wanita. Malah tanpa segan silu menceritakan hal dalam kain suami isteri kepada rakan2. Institusi kekeluargaan telah semakin rapuh.

Para suami pula hanya menjadi pak sanggup dan pak angguk kepada segala permintaan isteri. Akibatnya, bukan suami yang membimbing isteri sebaliknya suami pula telah dicucuk hidung oleh isteri. Kata2 si isteri diterima bulat2 tanpa rasa curiga. Tidak salah mempunyai sedikit rasa curiga, kerana ia bakal mewujudkan sikap berhati2 dan tidak mengambil mudah terhadap pasangan. Kepercayaan secara total hanya layak diberikan kepada Allah dan Rasulnya dan bukan kepada sesama manusia.

Perlu dilihat dengan siapa isteri itu berkawan. Jika kawannya itu buruk akhlaknya, maka sebolehnya nasihatkan isteri supaya menjauhkan diri. Ini kerana sahabat yang buruk akhlaknya akan mempengaruhi sahabatnya sama ada secara langsung mahupun tak langsung.

Dalam era globalisasi ini, sangat perlu ketelusan dalam perhubungan. Terlalu banyak kecurangan yang berlaku walaupun dalam rumah sendiri. Seorang isteri yang disangka sangat solehah dan tidak keluar rumah, mungkin melakukan perkara yang agak dahsyat di dalam rumah sendiri. Terlalu banyak gambar2 porno memaparkan wanita bertudung yang diambil di dalam bilik tidur sewaktu ketiadaan suami untuk diberikan kepada kekasih gelapnya. Asalnya cuma kawan berbual secara maya, namun, akibat perhubungan songsang yang disertai niat yang tidak baik, maka natijahnya juga sangatlah buruk.

Semua masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Tinggal sahaja kita nak lakukan ataupun tidak. Masalah di dunia ini akan dapat diselesaikan dengan amalan akhirat. Kita perlu tanamkan keyakinan terhadap amalan agama itu sendiri. Nabi s.a.w. bersabda “Dunia ini diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk akhirat”. Amalan agama yang dilakukan dengan keikhlasan dan penuh keyakinan bakal menjanjikan kejayaan buat kita di dunia dan akhirat.

Seorang suami wajib memastikan tahap agama dalam rumahtangganya. Orang pertama yang perlu dididik dengan agama tidak lain adalah isterinya sendiri. Apabila isteri itu beramal dengan keyakinan dan keikhlasan, maka pasti anak2 akan dididik dengan agama dan akhlak yang baik. Hasil daripada sebuah perhubungan yang diasaskan oleh pegangan agama menjadikan sesebuah keluarga tersebut dilimpahi rahmat dan keberkatan dari Allah s.w.t. Rezeki akan dimurahkan, segala masalah akan diselesaikan dan setiap hari akan dipenuhi dengan kasih sayang dan kecintaan.

Semoga Allah s.w.t. memilih kita untuk terus berada di atas jalanNya.

Wallahua’lam.

Monday, August 4, 2008

Budaya Kecurangan dalam Masyarakat Islam

Assalamualaikum…

Segala puji bagi Allah s.w.t., Selawat dan Salam ke atas Nabi s.a.w. dan para sahabat Baginda r.anhum.

Amanah merupakan suatu perkara yang amat besar dalam Islam. Islam menuntut penganutnya agar sentiasa menjaga amanah dan menjadi seorang yang beramanah dalam menjalani kehidupan seharian. Dengan erti kata lain, sekiranya seseorang itu meninggalkan sifat amanah, maka dia telah beramal dengan sifat khianat, suatu sifat yang paling dibenci dan dimurkai.

Amanah wujud apabila kita telah diberikan sesuatu perkara untuk dipelihara. Umpamanya dalam sebuah perkahwinan, seorang isteri wajib menjaga amanah suaminya termasuklah menjaga maruah, harta dan anak2 hasil perkahwinan bersama suami. Apabila amanah telah dikhianati, maka bermulalah saat kerosakan dan keruntuhan dalam institusi rumahtangga.

Seorang isteri solehah amat mudah untuk memasuki syurga. Namun terlalu payah untuk menjaga perkara yang bakal menjebak dirinya ke lembah neraka. Ulamak selalu memberikan perumpamaan bahawa seseorang isteri yang menjaga segala perintah Allah dan mentaati suaminya dalam perkara yang dibenarkan syarak, maka wajiblah tempatnya di dalam syurga.

Namun, halangan nafsu menjadi suatu perkara yang amat besar dalam kehidupan seorang wanita. Sebab itulah disebutkan dalam sebuah hadis, antara perkara yang perlu disegerakan oleh seorang Islam apabila tiba waktunya adalah mengahwinkan anak gadisnya. Fitnah seorang wanita adalah sangat besar. Seumpama besarnya peranannya dalam mencorakkan masyarakat.

Islam menetapkan bahawa tanggungjawab seorang isteri akan beralih daripada mentaati kedua ibu bapanya kepada suaminya apabila telah berkahwin. Bukanlah bermaksud tak perlu mentaati kedua ibu bapa, namun hierarki ketaatan tersebut telah berubah. Namun bagi seorang anak lelaki, ketaatan dan tanggungjawab utama tetap terhadap kedua ibu bapa.

Jika difikirkan dan dikaji secara mendalam, kita akan mendapati bahawa tanggungjawab seorang isteri itu sangat besar. Namun, ia tidak meliputi banyak tanggungjawab, sebaliknya tanggungjawabnya banyak melibatkan dirinya sendiri. Berbanding suami, tanggungjawabnya amat besar dalam mencari nafkah, mencorakkan keluarga dan sebagainya.

Dalam suasana kehidupan yang serba moden ini, merupakan satu cabaran yang amat besar bagi seorang suami untuk menjaga ahli keluarganya. Akibat tekanan hidup dan desakan ekonomi, maka hamper kesemua ahli keluarga telah dikerahkan untuk bekerja mencari pendapatan. Budaya kerja tradisional yang meletakkan suami dan bapa sebagai pencari rezeki tunggal sudah tidak lagi popular. Malah ada antara keluarga telah menterbalikkan fungsi setiap ahli keluarga. Ibu dan isteri bekerja mencari rezeki manakala suami dan bapa bertindak sebagai suri rumah. Istilah Mr. Mama, Sura Rumah dan sebagainya yang mewakili golongan ini sudah semakin popular.

Dengan wujudnya situasi seperti ini, maka banyak perkara dan masalah baru telah wujud. Isteri bertindak sebagai ketua keluarga, suami mengambil alih tugas rumahtangga, anak-anak terabai kasih sayang dsb.

Hakikatnya, Islam telah meletakkan suatu garis panduan yang cukup sempurna untuk diikuti. Hanya kita sahaja yang mereka2 sesuatu demi memenuhi tuntutan nafsu dan akal fikiran yang singkat.
Suatu masalah yang semakin membarah dalam masyarakat Islam telah dikesan yang antara lain menjadi faktor penyumbang terbesar keruntuhan institusi kekeluargaan iaitu kecurangan suami dan isteri. Ini berlaku akibat kurangkan penghayatan agama dan moral sehingga melupakan matlamat kehidupan yang sebenar.

Hubungan gelap pasangan suami isteri dengan rakan sekerja atau rakan sepengajian semakin berleluasa. Ada kes dikesan sehingga ke tahap melahirkan anak luar nikah, perzinaan dan sebagainya. Semua kesalahan ini sudah dianggap sebagai lumrah sehinggakan tiada lagi perasaan takut ataupun malu dengan perbuatan tersebut.

Bagaimana perkara ini boleh diatasi dan dielakkan? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah dengan kita kembali menghayati ajaran Islam yang sebenarnya. Perkara pertama yang perlu diambil perhatian adalah apakah matlamat kita dalam kehidupan? Adakah ingin memiliki kekayaan sebesar gunung? Ingin memiliki kuasa tertinggi dan penghormatan masyarakat? Atau apakah sebenarnya?

Allah telah menyatakan dengan jelas tujuan manusia dihantar ke atas muka bumi ini iaitu untuk beribadah kepadaNya. Dengan kata lain, matlamat utama kita hanyalah untuk mencari keredaan Allah dengan menyediakan bekalan secukupnya buat menempuh kehidupan alam akhirat.

Oleh itu, para isteri selayaknya bertugas di rumah. Terlalu banyak tugasan selain mencari pendapatan yang perlu dilaksanakan. Kadang2 para wanita terlalu mencari hak kesamarataan antara jantina. Hinggakan ramai antara mereka yang telah keluar dari rumah atas alas an untuk bekerja. Akibatnya, kehidupan sosial masyarakat telah semakin tergugat. Ditambah lagi dengan kedangkalan dalam hal yang melibatkan penutupan aurat dan menjaga kehormatan. Mata para lelaki tidak lagi selamat menyaksikan aurat wanita saban hari. Akibatnya, wujud anasir2 baru yang merosakkan masyarakat dengan kemunculan pencabul kehormatan, perogol, peragut dsb.

Anak2 juga sudah semakin bebas keluar masuk rumah disebabkan ketiadaan ibu bapa yang memantau pergerakan mereka. Maka, saban hari kita mendengar kes2 penculikan, cabul, rogol, pergaulan bebas yang membawa kepada perzinaan, dadah dan sebagainya.

Jika terpaksa bekerja untuk membantu suami, maka syaratnya amatlah ketat yang mungkin tidak sanggup untuk diikuti oleh para isteri. Dengan kewujudan dunia tanpa sempadan (internet), maka sewajarnya para wanita dan isteri menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk mencari pendapatan sampingan. Tidak perlu menayang muka di kedai sekiranya ingin berniaga. Cukup melakukan promosi dan transaksi secara atas talian (on-line).

Jika terpaksa juga untuk melakukan tugasan di luar rumah, maka perkara pertama yang harus dipastikan adalah keselamatan maruah. Elakkan daripada sentiasa terdedah kepada pergaulan dengan berlainan jantina. Jangan berbicara perkara2 yang tidak berfaedah umpamanya gossip, hal peribadi, masalah rumahtangga dan sebagainya dengan rakan sekerja terutama yang berlainan jenis. Pakaian yang dipakai juga harus diteliti. Jika terpaksa membuka aurat, maka selayaknya wanita tersebut meninggalkan pekerjaannya. Ingatlah matlamat utama kita dalam kehidupan.

Apabila kita dalam menjaga batasan dalam kehidupan kita, maka Allah akan menurunkan rahmat dan berkat atas setiap pekerjaan. Hasilnya pendapatan kita akan menjadi berkat dan menumbuhkan daging2 kesolehan dalam diri dan ahli keluarga kita.

Kepada para suami, jika tidak dapat memastikan pergerakan isteri dan menjaga keselamatan serta maruahnya, maka adalah lebih baik jika tidak membenarkan para isteri untuk bekerja. Biar miskin harta, tapi kaya dengan akhlak dan maruah daripada kaya harta namun akhirnya terpaksa menanggung beban dan dosa di dunia dan akhirat.

Wallahua’lam

Sunday, August 3, 2008

Batasan Dalam Bersahabat

Assalamualaikum…

Segala puji bagi Allah s.w.t. tuhan sekalian alam, Selawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w. serta sahabat Baginda r.anhum.

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menciptakan setiap kejadian di atas muka bumi ini secara berpasangan. Daripada pasangan tersebut maka wujudlah keluarga dan daripada setiap keluarga akan mewujudkan satu komuniti masyarakat seterusnya membentuk sesebuah negara. Setiap komuniti yang dibentuk kebiasaannya diasaskan oleh jenis ciptaan, warna kulit, bangsa dsb. Namun Islam telah datang untuk membentuk individu menjadi masyarakat yang diasaskan oleh agama.

Bersahabat dan mempunyai teman merupakan satu fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Setiap manusia berkeinginan untuk mempunyai sahabat. Tiada manusia yang sanggup untuk hidup sendirian tanpa mempunyai seseorang yang boleh berkongsi segala suka dan duka. Seorang sahabat seumpama seorang saudara walaupun tiada pertalian darah mahupun berlainan agama.

Rasulullah bersabda “Sahabat itu seumpama satu binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain”. Allah juga ada berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud “Sesungguhnya orang2 beriman itu adalah bersaudara”. Dengan wujudnya tali persahabatan maka mengukuhkan lagi tuntutan agama berkaitan hubungan sesama manusia.

Namun, sejauh manakah sesebuah persahabatan itu dapat dijalinkan mengikut aturan dan lunas syarak? Adakah persahabatan yang kita jalinkan selama ini menepati segala tuntutan yang diperlukan? Adakah setiap hak dalam persahabatan telah kita tunaikan?

Segala persoalan berkaitan hanya terjawab sekiranya kita mengetahui hak dan batasan dalam sahabat. Islam telah datang dengan pakej yang amat sempurna. Diturunkan panduan dalam bentuk tulisan (al-Quran) dan perbuatan (sunnah Nabi s.a.w.). Hanya apabila kita mengkaji dan mengaji tentangnya, maka terlalu banyak panduan yang boleh diambil pengajaran.

Hak seorang sahabat terhadap sahabatnya yang lain terlalu banyak. Namun, kita jarang membicarakan batasan dalam sesuatu persahabatan yang kadangkala menyebabkan kita bertindak di luar batasan yang sepatutnya. Natijah daripada kejahilan kita, maka kita bakal memusnahkan suatu ikatan yang sangat murni. Seorang sahabat adalah seumpama penunjuk arah sama ada menuju ke jalan yang lurus mahupun jalan yang sesat. Jika kita ingin mengetahui agama (akhlak) seseorang, maka lihatlah dengan siapa dia bersahabat.

Antara perkara penting dalam bersahabat adalah memelihara rahsia dan keaiban yang kita tahu berkaitan dirinya. Ini merupakan suatu amanah dalam persahabatan. Sabda Nabi s.a.w. “Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya di dunia ini, maka Allah akan menutup keaibannya di akhirat kelak”.

Dengan memelihara amanah rahsia dan keaiban ini, maka akan mewujudkan kepercayaan yang tinggi dalam persahabatan. Hasil daripada kepercayaan maka akan mewujudkan keselesaan dan rasa selamat dalam perhubungan. Sebaliknya, jika kita tidak menjaga amanah ini, maka kepercayaan dalam persahabatan akan hilang. Maka suatu persahabatan akan bertukar status menjadi kenalan. Ini akan membuatkan diri kita menjadi orang asing kepada sahabat sendiri. Tatkala beberapa sahabat sedang berbincang sesuatu perkara, namun apabila menyedari kehadiran kita sebolehnya mereka akan menghentikan perbincangan. Kita akan menjadi seperti kera sumbang. Tiada kemanisan dalam perbualan dan pergaulan. Seumpama suatu keterpaksaan dan kepura2an.

Suatu perkara lagi yang amat penting adalah membatasi segala kelakuan dan tindakan demi mengelakkan gangguan yang tidak sepatutnya terhadap persahabatan. Umpamanya mencerobohi peribadi dan barangan kepunyaan sahabat dengan anggapan kita dibenarkan berbuat begitu atas nama persahabatan. Seperti mana dalam keluarga wujud batasan tertentu, apatah lagi orang lain yang bukan sedarah dan sedaging dengan kita.

Menceroboh privasi seseorang adalah merupakan suatu kesalahan dan dosa yang tidak akan dimaafkan kecuali dengan kemaafan orang yang dicerobohi itu. Ini tertakluk kepada hak sesama hamba (huquq al-‘ibad). Jangan kita terlalu mengambil mudah atas semua perkara. Sekiranya tersilap langkah dan kelakuan, persahabatan yang telah sekian lama terjalin mungkin akan putus di tengah jalan.

Selain itu, hal kerahsiaan antara sahabat juga perlu diambil kira. Tidak semestinya jika kita telah bersahabat lama, maka kita berhak untuk mengetahui segala apa yang dilakukan oleh sahabat termasuklah rahsianya, kesedihannya, kegembiraannya dan sebagainya. Kita hanya berhak dengan kebenaran sahabat tersebut. Jika dia tidak ingin kita mengetahuinya, maka kita perlu berlapang dada dan menghormati keputusannya. Dengan demikian, kita telah mewujudkan satu ruang keselesaan buat sahabat kita. Hal yang sama juga kita kehendaki dari sahabat kita. Tidak semua perkara boleh diberitahu dan tidak semua perkara boleh dikongsi.

Banyak lagi batasan yang sepatutnya kita ambil kira dalam persahabatan. Dengan mengambil tahu kegemaran dan ketidaksukaannya terhadap sesuatu perkara, maka akan memudahkan kita untuk memahami sahabat dan mengelakkan perkara2 yang boleh mencemar persahabatan.

Wallahua’lam

Saturday, July 12, 2008

Kekuatan Hati

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah s.w.t., Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Muhammad s.a.w dan para sahabat Baginda r.anhum.

Kecoh seketika dunia Islam di Malaysia apabila 2 peristiwa membabitkan tokoh agama iaitu ustaz dan ustazah terlibat dalam suatu perkara yang sangat menakjubkan. Ustazah ditangkap khalwat, ustaz dituduh membunuh.

Penulis lebih suka untuk memfokuskan kepada kes yang melibatkan sebuah pusat pemulihan akidah yang agak terkenal (kerana selalu masuk dalam majalah) yang mana semakin terkenal dengan laporan besar-besaran akhbar arus perdana. kes dera sehingga membawa kepada kematian.

Penulis secara peribadi menolak kaedah dan metodologi yag digunakan oleh para pendidik dan ustaz di pusat tersebut yang agak keras dari segi pentarbiahannya. Sebelum ini, penulis selalu membaca dan melihat video rakaman bagaimana tarbiah dilakukan di situ. Ada antara penghuni direndam di dalam kolam, dipukul, dimaki hamun dan sebagainya dengan alasan untuk menjadikan jiwa mereka kuat terhadap agama dan menghalau kemungkaran dalam diri mereka.

Berbalik kepada sabdaan Nabi s.a.w " Ketahuilah, bahawa dalam diri manusia itu ada seketul darah / daging, jika baik ia maka baiklah seluruh anggota badan. Jika buruk ia maka buruklah seluruh anggota. Ketahuilah ianya adalah hati". Nabi s.a.w. telah menunjukkan dengan jelas kepada seluruh umat bagaimana mahu membaiki akhlak, budi bahasa, amalan, ibadat dan sebagainya. Namun, umat hari ini telah ramai yang berlagak cerdik, seolah2 lebih pandai daripada seorang nabi dengan membuat sesuatu perkara mengikut hawa nafsu lalu dinisbahkannya kepada agama. Inilah salah satu bentuk penipuan yang zalim terhadap agama.

Agama itu mudah. Namun, ramai orang telah mengambil jalan yang susah dengan alasan mencapai tahap kesempurnaan agama. Akibatnya, ramai manusia telah mempermudahkan urusan agama. Solat hanya perlu niat, nikah batin, yuran tebus dosa dan segala macam perkara baru telah berlaku dalam amalan agama.

Sebaliknya, jika kita menghalusi sabdaan dan sunnah perbuatan Nabi s.a.w. itu sendiri, maka kita akan dapat menilai betapa indahnya Islam itu.

Kemunculan awal Islam perlu dilihat sebagai satu titik penting ke arah perubahan bangsa Arab yang suatu masa dahulu terkenal dengan budaya Jahiliyyahnya. Apabila disebut budaya, maka sudah tentulah ianya sesuatu amalan yang telah menjadi darah daging. Bukan semudah disangka untuk membuang segala amalan tersebut apatah lagi yang melibatkan kepercayaan akidah.

Namun Nabi s.a.w. telah membawa satu pendekatan membentuk hati umat Islam yang awal kepada keyakinan yang jitu terhadap keesaan Allah s.w.t. Hasilnya, tidak sampai 10 tahun usaha di Mekah, Nabi s.a.w. telah berjaya melahirkan tokoh2 gemilang dalam Islam yang sanggup mati demi memperjuangkan agama. Sebutlah nama Sumayyah, Keluarga Yasir, Bilal bin Rabah, Ummu Syarik, Hamzah bin Abi Talib r.anhum dan ingatlah segala pengorbanan mereka untuk agama.

Apakah asasnya? Sudah tentulah asasnya adalah Iman. Iman yang telah ditanam jitu oleh Nabi s.a.w. ke dalam hati para sahabatnya sehinggakan mereka lebih mengutamakan Allah dan RasulNya daripada segala2nya. Itulah juga yang diusahakan oleh Nabi s.a.w. selama berada di Mekah sebelum turunnya syariat dan perintah hukum hakam yang lain.

Dalam menangani gejala umat yang semakin rosak pada masa kini, hendaklah kita kembali melihat kepada sejarah yang telah dilalui oleh Nabi dan para sahabat. Tidak perlu merekacipta peraturan dan kaedah sendiri. Seperti kata ahli fikir, jika kita ingin berjaya, maka kita kena meniru cara orang yang telah berjaya. Jika kita ingin berjaya dalam perniagaan, maka kita perlu meniru cara ahli perniagaan yang berjaya. Begitu juga sebaliknya.

Hati merupakan suatu tempat antara iman dan kufur. Jika kita menempatkan iman di dalam hati, maka kekufuran akan hilang. Sebaliknya, jika kita tidak berusaha meningkatkan iman, maka kita seolah2 membiarkan hati kita seumpama tanah lapang yang tiada ditanam apa2 jua tanaman, dan akhirnya lalang mula tumbuh. Pokok2 kecil menjalar sehingga menjadi sebuah belukar. Maka pada ketika itu, hati seolah2 menjadi keras dan agak sukar untuk memulihkannya.

Cara pemulihannya, kita perlu menebang dahulu pokok2, meracun lalang2 sehingga tiada tumbuhan perosak. Maka ketika itulah, jika kita menanam pohon buah2an, maka ia akan tumbuh segar tanpa halangan daripada rumpai dan lalang.

Hati ini diibaratkan sebuah tanah yang kosong. Kita tidak boleh meletakkan iman dan nafsu sekali, malaikat dan syaitan bersama. Kerana ia hanya akan mewujudkan suatu penyakit yang lebih kronik iaitu syirik.

Dalam kalimah syahadah kita, kalimah nafi didahulukan daripada kalimah isbat. Kalimah "Laa Ilaah" (Tiada Tuhan) adalah kalimah nafi manakala kalimah "Illallah" (Melainkan Allah) adalah kalimah isbat. Maka ada ulamak mensyaratkan bahawa, mengeluarkan segala kerosakan dan keburukan dalam hati perlu didahulukan daripada membentuk hati dengan perkara kebaikan. Namun, sebagai umat akhir zaman, kita perlu melakukan perkara ini bersama. Antara cara paling mudah yang diajarkan oleh Allah s.w.t. adalah dengan melakukan banyak amalan kebaikan. Ini kerana amalan kebaikan akan menghapuskan amalan kejahatan. Selain itu, perbetulkan solat kita dari sudut syariat dan hakikat iaitu perlu mengetahui sah dan batalnya serta meningkatkan tahap kekhusyukan. Ini juga dijelaskan di dalam al-Quran yang mengatakan bahawa solat itu akan dapat menghalang daripada perkara keji dan mungkar.


Didiklah hati kita dengan suasana Iman. Di saat suasana kelalaian semakin merebak sehingga ke dalam rumah, kita perlu mencari suatu suasana yang boleh memantapkan lagi Iman kita. Suasana itu tidak akan diperolehi kecuali di masjid. Jadikanlah masjid sebagai rumah kita. Banyakkan masa dalam suasana masjid. Semoga dengan menghabiskan banyak masa berada dalam suasana Iman, maka keimanan kita dapat ditingkatkan.

Semoga Allah memelihara Iman kita sehingga ke akhir hayat.

Monday, June 30, 2008

Selamat Hari Lahir? Mati?

Assalamualaikum..
Segala puji bagi Allah s.w.t., Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Muhammad s.a.w. dan para sahabat Baginda r.anhum.
Antara tarikh keramat bagi makhluk di dunia adalah tarikh kelahiran. Kelahiran Malaysia sebagai sebuah negara merdeka, kelahiran P. Ramlee sebagai seorang legenda seni, kelahiran Chow Sin Chi sebagai ikon komedi dsb. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. antara hari kelahiran yang disambut besar-besaran di seluruh dunia.
Kita juga pasti tidak akan mudah melupakan tarikh hari kelahiran sama ada diri sendiri, ahli keluarga, orang tersayang dsb. Demi mengingati tarikh tersebut, maka disediakan ganjaran berbentuk hadiah sebagai penghargaan bagi sambut hari keramat tersebut. Ada yang menyambutnya dengan majlis keraian, kenduri doa selamat, bercuti di luar negara dsb. Sungguh kita terlalu memandang ke belakang dalam hal ini.
Sedangkan pada hakikatnya, kita sedang mengingati hari pertama kita berada di atas bumi ini, sehinggakan kita terlupa untuk menghitung berapa harikah kita telah berada di bumi dan tinggal berapa hari lagi untuk kita berada di sini? Alasan yg cukup mudah yang boleh kita berikan adalah, ianya suatu rahsia ghaib yang kita tidak tahu bilakah masanya.
Umpama seorang pesalah yang sudah dijatuhkan hukuman mati. Dia tidak mengetahui bilakah hukuman itu bakal dijalankan? Dia cuma mengetahui hukuman telah dijatuhkan. Bagaimanakah agaknya keadaan ketika itu?
Menurut suatu sumber yang sahih dari penghuni bilik akhir, kebanyakan mereka yang telah dijatuhkan hukuman mati akan hidup dalam keadaan tidak bermaya. Fikiran yang kosong. Apa yang dilihat di hadapan hanyalah kegelapan semata2. Malah makanan yang disajikan untuk mereka agak istimewa. Ayam yang sudah dibuang tulang, tiada sebarang benda yang boleh digunakan untuk mencederakan diri sendiri. Apabila diketahui hukuman akan dijalankan, maka pada ketika itu, lututnya menjadi lemah sehingga terpaksa dipapah ketika berjalan. Ada yang terkencing terberak sebelum menuju ke bilik hukuman gantung.
Lihatlah. Inilah keadaannya seorang yang telah dijatuhkan hukuman mati. Seluruh manusia semenjak dari alam rahim lagi telah dijatuhkan hukuman mati oleh Allah s.w.t. Namun, tarikh itu sengaja dirahsiakan supaya manusia yakin dan beriman kepada Allah serta qada' dan qadar yang berlaku padanya. Bagaimanakah keadaan kita sekarang ini? Adakah seperti seorang banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati?
Amat sukar untuk dinyatakan. Namun, seperti yang kita lihat, kebanyakan dari kita seolah2 terlupa bahawa kita ini adalah banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati. Kita bersikap dan bersifat seolah2 kita akan hidup selama2nya. Maka dengan keyakinan sesat ini, kita telah banyak melalaikan dan menangguhkan segala urusan ibadat kita kepada Allah s.w.t.
Kita menganggap dengan umur yang agak muda, kita masih banyak peluang untuk bertaubat dan beribadat. Namun, siapakah yang dapat menjamin keadaan tersebut? Berapa ramai anak muda yang mati dalam kemalangan, akibat sakit, dibunuh dsb? Seperti kata orang tua dahulu kala, alangkan putik kelapa pun boleh gugur.
Ingatlah, bagaimana keadaan kita hidup, maka dalam keadaan itulah kita akan dimatikan. Seorang yang sibuk bekerja sehingga lalai urusan ibadah, maka Allah akan mematikannya dalam pekerjaan yang dilakukan. Seorang penternak yang sibuk dengan ternakannya, akan dimatikan oleh Allah dlm kesibukannya itu.
Apakah kesibukan yang melanda kita pada waktu ini? Jangan disebabkan lalai dengan maksiat dan hawa nafsu, Allah menarik nyawa kita tanpa kita sempat bertaubat dan memohon ampun padaNya. Maka, banyakkanlah masa kita dalam ibadah. InsyaAllah, kita akan diambil nyawa dalam keadaan yang paling baik.

Saturday, June 28, 2008

Apabila Semuanya Menuntut Hak

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah s.w.t., Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar, Muhammad s.a.w. dan para sahabat radiallahu anhum.

Setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini tidak terlepas daripada kewajipan menunaikan hak kepada Allah dan hak kepada sesama manusia. Hak Allah yang perlu ditunaikan oleh manusia termasuklah dari sudut pengabdian diri kepadaNya dengan menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Segala hukum yang telah ditetapkan hendaklah dilaksanakan sewajarnya tanpa kompromi kerana hak hukuman adalah milik Allah s.w.t. Oleh itu, tidak wajarlah kita mempertikaikan segala hukum yang berkaitan dengan ibadat spt hudud, qisas dsb.

Bagi hak sesama manusia pula, terlalu banyak yang perlu ditunaikan. Hak anak terhadap ibu bapanya dan sebaliknya, hak pemerintah kepada rakyat dan sebaliknya, hak isteri terhadap suaminya dan sebaliknya. Banyak lagi yang mungkin tidak dapat diperincikan di sini.

Apa yang penulis ingin bawakan di sini untuk sama2 kita fikirkan adalah keghairahan yang keterlaluan dalam menuntut hak. Rakyat menuntut hak yang keterlaluan daripada pemerintah, isteri menuntut hak daripada suami, anak menuntut hak daripada ibu bapa. Sehinggakan kita terlupa kepada suatu tuntutan yang lebih utama daripada itu untuk kita lakukan iaitu menunaikan hak.

Apabila semua individu dalam masyarakat ghairah untuk menunaikan hak saudaranya, maka kita akan dapati mereka akan hidup dalam suasana aman dan damai. Ini telah ditunjukkan oleh para sahabat baginda s.a.w. yang terlalu ingin menunaikan hak saudara mereka sehinggakan mengabaikan hak sendiri.

Saidina Umar r.anhu telah diriwayatkan suatu ketika ingin meminjam daripada Baitulmal untuk tujuan membelikan sepasang pakaian baru buat anaknya. Namun, apabila diingatkan oleh penjaga Baitulmal, adakah dia yakin akan dapat membayarnya sebelum ajal menjemputnya? Maka dia telah membatalkan hasratnya itu walaupun dia berkelayakan untuk menerima daripada gajinya sebagai khalifah.

Begitu juga Saidina Abu Bakr r.anhu. Diceritakan bahawa beliau tidak mengambil walau sedikitpun daripada gajinya dan diserahkan semuanya kepada Baitulmal.

Umar bin Abdul Aziz rahimahullah diriwayatkan pada zaman pemerintahannya, tiada seorg pun rakyatnya yang layak untuk menerima zakat. Sedangkan dikatakan bahawa beliau sendiri adalah terlebih layak menerima zakat disebabkan hidupnya yang serba dhaif walaupun beliau adalah merupakan ketua negara.

Ulamak mengatakan bahawa pada zamannya, kambing dan serigala boleh makan di dalam satu bekas. Apabila terjadi peristiwa serigala menyerang dan memakan kambing, maka ulamak pada zaman itu terus mengatakan "Umar telah meninggal dunia".

Inilah dia kehebatan para sahabat dan tabi'en yang menghabiskan masa hidupnya dalam menunaikan hak Allah dan hak sesama manusia tanpa mempedulikan untuk menuntut hak bagi dirinya. Hasilnya, manusia hidup dalam keadaan aman dan harmoni hatta dikatakan serigala yang menjadi musuh ternakan boleh makan bersama kambing dlm satu bekas!

Bayangkan sekiranya pada hari ini, kita masing2 mengamalkan sikap seperti para sahabat yang berlapang dada sekiranya hak dirinya diabaikan. Sebaliknya berusaha untuk memenuhi tuntutan dan hajat saudara yang lain. Maka, akan hilang perasaan iri hati, cemburu, tamak haloba, ego dsb.

Seorang pemerintah akan berlapang dada menunaikan permintaan rakyatnya. Rakyat pula akan berlapang dada berkhidmat untuk pemerintahnya. Isteri berlapang dada menunaikan hak suaminya. Suami pula berlapang dada dengan karenah dan kehendak isterinya. Anak2 berusaha untuk menunaikan hak org tuanya. Ibu bapa pula berusaha untuk mendidik anak2nya. Jiran2 saling bantu membantu tanpa ada sifat pentingkan diri sendiri.

Bayangkan sekiranya semua makhluk di atas muka bumi ini saling menuntut hak masing2?

Maha Suci Tuhan yang telah menurunkan contoh terbaik daripada generasi terbaik yang boleh menjadi panduan untuk kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni.