Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Sunday, August 3, 2008

Batasan Dalam Bersahabat

Assalamualaikum…

Segala puji bagi Allah s.w.t. tuhan sekalian alam, Selawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w. serta sahabat Baginda r.anhum.

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menciptakan setiap kejadian di atas muka bumi ini secara berpasangan. Daripada pasangan tersebut maka wujudlah keluarga dan daripada setiap keluarga akan mewujudkan satu komuniti masyarakat seterusnya membentuk sesebuah negara. Setiap komuniti yang dibentuk kebiasaannya diasaskan oleh jenis ciptaan, warna kulit, bangsa dsb. Namun Islam telah datang untuk membentuk individu menjadi masyarakat yang diasaskan oleh agama.

Bersahabat dan mempunyai teman merupakan satu fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Setiap manusia berkeinginan untuk mempunyai sahabat. Tiada manusia yang sanggup untuk hidup sendirian tanpa mempunyai seseorang yang boleh berkongsi segala suka dan duka. Seorang sahabat seumpama seorang saudara walaupun tiada pertalian darah mahupun berlainan agama.

Rasulullah bersabda “Sahabat itu seumpama satu binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain”. Allah juga ada berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud “Sesungguhnya orang2 beriman itu adalah bersaudara”. Dengan wujudnya tali persahabatan maka mengukuhkan lagi tuntutan agama berkaitan hubungan sesama manusia.

Namun, sejauh manakah sesebuah persahabatan itu dapat dijalinkan mengikut aturan dan lunas syarak? Adakah persahabatan yang kita jalinkan selama ini menepati segala tuntutan yang diperlukan? Adakah setiap hak dalam persahabatan telah kita tunaikan?

Segala persoalan berkaitan hanya terjawab sekiranya kita mengetahui hak dan batasan dalam sahabat. Islam telah datang dengan pakej yang amat sempurna. Diturunkan panduan dalam bentuk tulisan (al-Quran) dan perbuatan (sunnah Nabi s.a.w.). Hanya apabila kita mengkaji dan mengaji tentangnya, maka terlalu banyak panduan yang boleh diambil pengajaran.

Hak seorang sahabat terhadap sahabatnya yang lain terlalu banyak. Namun, kita jarang membicarakan batasan dalam sesuatu persahabatan yang kadangkala menyebabkan kita bertindak di luar batasan yang sepatutnya. Natijah daripada kejahilan kita, maka kita bakal memusnahkan suatu ikatan yang sangat murni. Seorang sahabat adalah seumpama penunjuk arah sama ada menuju ke jalan yang lurus mahupun jalan yang sesat. Jika kita ingin mengetahui agama (akhlak) seseorang, maka lihatlah dengan siapa dia bersahabat.

Antara perkara penting dalam bersahabat adalah memelihara rahsia dan keaiban yang kita tahu berkaitan dirinya. Ini merupakan suatu amanah dalam persahabatan. Sabda Nabi s.a.w. “Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya di dunia ini, maka Allah akan menutup keaibannya di akhirat kelak”.

Dengan memelihara amanah rahsia dan keaiban ini, maka akan mewujudkan kepercayaan yang tinggi dalam persahabatan. Hasil daripada kepercayaan maka akan mewujudkan keselesaan dan rasa selamat dalam perhubungan. Sebaliknya, jika kita tidak menjaga amanah ini, maka kepercayaan dalam persahabatan akan hilang. Maka suatu persahabatan akan bertukar status menjadi kenalan. Ini akan membuatkan diri kita menjadi orang asing kepada sahabat sendiri. Tatkala beberapa sahabat sedang berbincang sesuatu perkara, namun apabila menyedari kehadiran kita sebolehnya mereka akan menghentikan perbincangan. Kita akan menjadi seperti kera sumbang. Tiada kemanisan dalam perbualan dan pergaulan. Seumpama suatu keterpaksaan dan kepura2an.

Suatu perkara lagi yang amat penting adalah membatasi segala kelakuan dan tindakan demi mengelakkan gangguan yang tidak sepatutnya terhadap persahabatan. Umpamanya mencerobohi peribadi dan barangan kepunyaan sahabat dengan anggapan kita dibenarkan berbuat begitu atas nama persahabatan. Seperti mana dalam keluarga wujud batasan tertentu, apatah lagi orang lain yang bukan sedarah dan sedaging dengan kita.

Menceroboh privasi seseorang adalah merupakan suatu kesalahan dan dosa yang tidak akan dimaafkan kecuali dengan kemaafan orang yang dicerobohi itu. Ini tertakluk kepada hak sesama hamba (huquq al-‘ibad). Jangan kita terlalu mengambil mudah atas semua perkara. Sekiranya tersilap langkah dan kelakuan, persahabatan yang telah sekian lama terjalin mungkin akan putus di tengah jalan.

Selain itu, hal kerahsiaan antara sahabat juga perlu diambil kira. Tidak semestinya jika kita telah bersahabat lama, maka kita berhak untuk mengetahui segala apa yang dilakukan oleh sahabat termasuklah rahsianya, kesedihannya, kegembiraannya dan sebagainya. Kita hanya berhak dengan kebenaran sahabat tersebut. Jika dia tidak ingin kita mengetahuinya, maka kita perlu berlapang dada dan menghormati keputusannya. Dengan demikian, kita telah mewujudkan satu ruang keselesaan buat sahabat kita. Hal yang sama juga kita kehendaki dari sahabat kita. Tidak semua perkara boleh diberitahu dan tidak semua perkara boleh dikongsi.

Banyak lagi batasan yang sepatutnya kita ambil kira dalam persahabatan. Dengan mengambil tahu kegemaran dan ketidaksukaannya terhadap sesuatu perkara, maka akan memudahkan kita untuk memahami sahabat dan mengelakkan perkara2 yang boleh mencemar persahabatan.

Wallahua’lam

No comments: