Assalamualaikum..
Segala puji bagi Allah s.w.t., Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Muhammad s.a.w. dan para sahabat Baginda r.anhum.
Antara tarikh keramat bagi makhluk di dunia adalah tarikh kelahiran. Kelahiran Malaysia sebagai sebuah negara merdeka, kelahiran P. Ramlee sebagai seorang legenda seni, kelahiran Chow Sin Chi sebagai ikon komedi dsb. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. antara hari kelahiran yang disambut besar-besaran di seluruh dunia.
Kita juga pasti tidak akan mudah melupakan tarikh hari kelahiran sama ada diri sendiri, ahli keluarga, orang tersayang dsb. Demi mengingati tarikh tersebut, maka disediakan ganjaran berbentuk hadiah sebagai penghargaan bagi sambut hari keramat tersebut. Ada yang menyambutnya dengan majlis keraian, kenduri doa selamat, bercuti di luar negara dsb. Sungguh kita terlalu memandang ke belakang dalam hal ini.
Sedangkan pada hakikatnya, kita sedang mengingati hari pertama kita berada di atas bumi ini, sehinggakan kita terlupa untuk menghitung berapa harikah kita telah berada di bumi dan tinggal berapa hari lagi untuk kita berada di sini? Alasan yg cukup mudah yang boleh kita berikan adalah, ianya suatu rahsia ghaib yang kita tidak tahu bilakah masanya.
Umpama seorang pesalah yang sudah dijatuhkan hukuman mati. Dia tidak mengetahui bilakah hukuman itu bakal dijalankan? Dia cuma mengetahui hukuman telah dijatuhkan. Bagaimanakah agaknya keadaan ketika itu?
Menurut suatu sumber yang sahih dari penghuni bilik akhir, kebanyakan mereka yang telah dijatuhkan hukuman mati akan hidup dalam keadaan tidak bermaya. Fikiran yang kosong. Apa yang dilihat di hadapan hanyalah kegelapan semata2. Malah makanan yang disajikan untuk mereka agak istimewa. Ayam yang sudah dibuang tulang, tiada sebarang benda yang boleh digunakan untuk mencederakan diri sendiri. Apabila diketahui hukuman akan dijalankan, maka pada ketika itu, lututnya menjadi lemah sehingga terpaksa dipapah ketika berjalan. Ada yang terkencing terberak sebelum menuju ke bilik hukuman gantung.
Lihatlah. Inilah keadaannya seorang yang telah dijatuhkan hukuman mati. Seluruh manusia semenjak dari alam rahim lagi telah dijatuhkan hukuman mati oleh Allah s.w.t. Namun, tarikh itu sengaja dirahsiakan supaya manusia yakin dan beriman kepada Allah serta qada' dan qadar yang berlaku padanya. Bagaimanakah keadaan kita sekarang ini? Adakah seperti seorang banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati?
Amat sukar untuk dinyatakan. Namun, seperti yang kita lihat, kebanyakan dari kita seolah2 terlupa bahawa kita ini adalah banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati. Kita bersikap dan bersifat seolah2 kita akan hidup selama2nya. Maka dengan keyakinan sesat ini, kita telah banyak melalaikan dan menangguhkan segala urusan ibadat kita kepada Allah s.w.t.
Kita menganggap dengan umur yang agak muda, kita masih banyak peluang untuk bertaubat dan beribadat. Namun, siapakah yang dapat menjamin keadaan tersebut? Berapa ramai anak muda yang mati dalam kemalangan, akibat sakit, dibunuh dsb? Seperti kata orang tua dahulu kala, alangkan putik kelapa pun boleh gugur.
Ingatlah, bagaimana keadaan kita hidup, maka dalam keadaan itulah kita akan dimatikan. Seorang yang sibuk bekerja sehingga lalai urusan ibadah, maka Allah akan mematikannya dalam pekerjaan yang dilakukan. Seorang penternak yang sibuk dengan ternakannya, akan dimatikan oleh Allah dlm kesibukannya itu.
Apakah kesibukan yang melanda kita pada waktu ini? Jangan disebabkan lalai dengan maksiat dan hawa nafsu, Allah menarik nyawa kita tanpa kita sempat bertaubat dan memohon ampun padaNya. Maka, banyakkanlah masa kita dalam ibadah. InsyaAllah, kita akan diambil nyawa dalam keadaan yang paling baik.