Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Saturday, June 7, 2008

Iman Suasana vs Emansipasi

Assalamualaikum..

Sesungguhnya iman adalah sesuatu yang paling berharga. Umpama ruh pada badan, begitulah hakikatnya iman dan amalan. Kita sedia maklum bahawa di akhirat nanti, hanya amalan sahaja yang akan menjadi bekal dan penyelamat serta penentu natijah akhir di akhirat. Jika amalan baik, maka balasannya syurga. Begitulah sebaliknya.

Untuk mengesahkan setiap amalan yang dilakukan di atas dunia ini, memerlukan kehadiran iman. Tanpa iman, segala amalan kebaikan akan tertolak. Oleh sebab itulah, maka syarat untuk penerimaan amalan yang disebutkan di awal sekali iaitu kalimah syahadah. Dengan mengucapkan kalimah syahadah, maka menjadi suatu tiket untuk penerimaan segala amalan sama ada yang kecil mahupun yang besar.

Di akhirat nanti, setiap orang yang mempunyai iman walaupun sebesar zarrah sekalipun, maka akhirnya pasti akan memasuki syurga. Tidak kira sama ada dia merupakan seorang yang fasiq, pelaku dosa besar dan sebagainya. Namun, jika manusia itu terkenal dengan kehidupan yang baik tetapi dia tidak beriman, maka segala amalan kebaikannya yang dilakukan adalah sia-sia.

Iman suasana dikaitkan dengan suatu keadaan iman yang tidak tetap dan mantap. Amalan seseorang berubah mengikut keadaan sekeliling. Sekiranya dia berada di kalangan manusia yang soleh, maka dia akan terdorong melakukan amalan soleh. Manakala jika dia berada di kalangan manusia yang fasiq, maka dia akan terdorong untuk melakukan kejahatan.

Marilah kita sama-sama menilai di manakah tahap keimanan kita? Adakah iman kita sekental iman nabi dan para sahabat yang tidak terkesan dengan suasana sekeliling, ataupun iman kita hanyalah iman suasana, sekejap meningkat, sekejap menurun?

Ulamak memberi gambaran bahawa rata-rata umat akhir zaman ini imannya sentiasa berubah-ubah mengikut suasana. Iman manusia kebanyakan, kadang-kadang naik, ada masanya turun. Maka atas sebab itulah ulamak selalu menyarankan kita agar sentiasa berada dalam suasana yang baik. Tidak ada suasana yang paling baik di atas muka bumi ini melainkan suasana masjid. Dengan membanyakkan masa berada di dalam masjid, maka akan memberi kesan kepada iman kita untuk sentiasa mendorong amal perbuatan ke arah yang baik.

Berdepan dengan masyarakat yang mengamalkan emansipasi yang bebas melakukan apa sahaja tanpa batasan, umat Islam terikat dengan hukum dan peraturan. Dengan berpegang kepada hukum hakam agama, maka kita akan dapat menentukan sejauh mana tahap keimanan kita.

Jika difikirkan secara logik akan sekalipun, maka kita akan mendapati bahawa fitrah manusia itu sendiri terdorong ke arah kebaikan. Namun, suasana banyak mengubah penampilan dan gaya hidup manusia. Mana ada seorang pencuri yang akan menasihati anaknya agar mengikut jejak langkahnya sebagai pencuri? Melainkan dia akan menasihati anaknya agar tidak meniru perbuatannya dan menjadi manusia berguna. Kita juga selalu melihat guru yang merotan anak muridnya merokok, padahal dia sendiri merokok. Inilah yang dikatakan fitrah yang mahukan kebaikan, namun kelemahan iman menyekat niat murni tersebut.

Jika kita berjalan di pasaraya dan ternampak seorang jiran kita yang selalu berbikini ketika mandi di kolam renang komuniti, lalu kita berniat ingin melihat seluar dalam warna apakah yang dipakainya. Kita tanpa segan silu menyelak kainnya. Apakah risiko yang mungkin akan berlaku? Mungkin kita akan ditampar di khalayak. Lebih teruk lagi kita akan dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan mencabul kehormatan. Namun tidak mungkin kita akan dilayan dengan baik semata-mata ingin memenuhi keinginan kita itu.

Sedangkan pada hakikatnya, jika di tepian kolam renang dia tidak segan silu menayangkan pakaian dalamnya kepada kita. Apakah bezanya? Bezanya adalah suasana dan tempat. Seorang gadis akan berasa malu duduk bergesel bersebelahan dengan pemuda yang tidak dikenali jika dalam keadaan biasa. Namun jika berada di dalam bas, tidak wujud langsung perasaan tersebut walaupun perjalanan yang memakan masa itu dipenuhi dengan adegan sentuhan dan geselan.

Inilah tahap iman kita sebenarnya. Kita tidak mampu untuk mengubah suasana seperti para nabi dan sahabat. Sebaliknya, kita sendiri terikut-ikut dengan suasana. Maka, carilah suasana yang baik. Elakkan berada dalam suasana yang boleh menjurus kita ke lembah maksiat. Semoga Allah memelihara iman kita dan amalan kita dan diterima sebagai suatu amalan yang baik di akhirat nanti. Amin...

No comments: