Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Saturday, June 28, 2008

Apabila Semuanya Menuntut Hak

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah s.w.t., Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar, Muhammad s.a.w. dan para sahabat radiallahu anhum.

Setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini tidak terlepas daripada kewajipan menunaikan hak kepada Allah dan hak kepada sesama manusia. Hak Allah yang perlu ditunaikan oleh manusia termasuklah dari sudut pengabdian diri kepadaNya dengan menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Segala hukum yang telah ditetapkan hendaklah dilaksanakan sewajarnya tanpa kompromi kerana hak hukuman adalah milik Allah s.w.t. Oleh itu, tidak wajarlah kita mempertikaikan segala hukum yang berkaitan dengan ibadat spt hudud, qisas dsb.

Bagi hak sesama manusia pula, terlalu banyak yang perlu ditunaikan. Hak anak terhadap ibu bapanya dan sebaliknya, hak pemerintah kepada rakyat dan sebaliknya, hak isteri terhadap suaminya dan sebaliknya. Banyak lagi yang mungkin tidak dapat diperincikan di sini.

Apa yang penulis ingin bawakan di sini untuk sama2 kita fikirkan adalah keghairahan yang keterlaluan dalam menuntut hak. Rakyat menuntut hak yang keterlaluan daripada pemerintah, isteri menuntut hak daripada suami, anak menuntut hak daripada ibu bapa. Sehinggakan kita terlupa kepada suatu tuntutan yang lebih utama daripada itu untuk kita lakukan iaitu menunaikan hak.

Apabila semua individu dalam masyarakat ghairah untuk menunaikan hak saudaranya, maka kita akan dapati mereka akan hidup dalam suasana aman dan damai. Ini telah ditunjukkan oleh para sahabat baginda s.a.w. yang terlalu ingin menunaikan hak saudara mereka sehinggakan mengabaikan hak sendiri.

Saidina Umar r.anhu telah diriwayatkan suatu ketika ingin meminjam daripada Baitulmal untuk tujuan membelikan sepasang pakaian baru buat anaknya. Namun, apabila diingatkan oleh penjaga Baitulmal, adakah dia yakin akan dapat membayarnya sebelum ajal menjemputnya? Maka dia telah membatalkan hasratnya itu walaupun dia berkelayakan untuk menerima daripada gajinya sebagai khalifah.

Begitu juga Saidina Abu Bakr r.anhu. Diceritakan bahawa beliau tidak mengambil walau sedikitpun daripada gajinya dan diserahkan semuanya kepada Baitulmal.

Umar bin Abdul Aziz rahimahullah diriwayatkan pada zaman pemerintahannya, tiada seorg pun rakyatnya yang layak untuk menerima zakat. Sedangkan dikatakan bahawa beliau sendiri adalah terlebih layak menerima zakat disebabkan hidupnya yang serba dhaif walaupun beliau adalah merupakan ketua negara.

Ulamak mengatakan bahawa pada zamannya, kambing dan serigala boleh makan di dalam satu bekas. Apabila terjadi peristiwa serigala menyerang dan memakan kambing, maka ulamak pada zaman itu terus mengatakan "Umar telah meninggal dunia".

Inilah dia kehebatan para sahabat dan tabi'en yang menghabiskan masa hidupnya dalam menunaikan hak Allah dan hak sesama manusia tanpa mempedulikan untuk menuntut hak bagi dirinya. Hasilnya, manusia hidup dalam keadaan aman dan harmoni hatta dikatakan serigala yang menjadi musuh ternakan boleh makan bersama kambing dlm satu bekas!

Bayangkan sekiranya pada hari ini, kita masing2 mengamalkan sikap seperti para sahabat yang berlapang dada sekiranya hak dirinya diabaikan. Sebaliknya berusaha untuk memenuhi tuntutan dan hajat saudara yang lain. Maka, akan hilang perasaan iri hati, cemburu, tamak haloba, ego dsb.

Seorang pemerintah akan berlapang dada menunaikan permintaan rakyatnya. Rakyat pula akan berlapang dada berkhidmat untuk pemerintahnya. Isteri berlapang dada menunaikan hak suaminya. Suami pula berlapang dada dengan karenah dan kehendak isterinya. Anak2 berusaha untuk menunaikan hak org tuanya. Ibu bapa pula berusaha untuk mendidik anak2nya. Jiran2 saling bantu membantu tanpa ada sifat pentingkan diri sendiri.

Bayangkan sekiranya semua makhluk di atas muka bumi ini saling menuntut hak masing2?

Maha Suci Tuhan yang telah menurunkan contoh terbaik daripada generasi terbaik yang boleh menjadi panduan untuk kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

No comments: