Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Tuesday, June 24, 2008

Ar-Rahman dan Ar-Rahim

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah s.w.t, selawat dan salam ke atas junjungan besar, Muhammad s.a.w., para sahabat baginda r.anhum.

Cinta dan kasih sayang akan sentiasa subur dan mekar di kalangan makhluk ciptaan Allah di atas muka bumi ini. Manusia akan kasih kepada manusia, ayah akan kasih kepada anaknya, isteri akan kasih kepada suaminya. Begitu juga haiwan akan kasih kepada pasangannya, tumbuhan akan kasih kepada debunganya. Ada juga kasih yang melewati batasan jenis, manusia akan kasih kepada haiwan ternakannya, kucing akan sayang kepada tuannya dsb.

Begitulah hebat kuasa kasih dan cinta yang dilahirkan pada setiap hati makhluk tuhan. Betapakah lagi mendalamnya kasih dan cinta Allah s.w.t. terhadap manusia, makhluk ciptaanNya yang paling baik. Menurut ulamak, sifat ar-Rahman itu sendiri menggambarkan pengasihnya Allah s.w.t. terhadap manusia tidak mengira agama mahupun bangsa. Allah memberi manusia rezeki, udara, air, tempat tinggal, kenderaan dsb walaupun hambaNya itu tidak tunduk dan patuh kepadaNya. Allah tidak berkira untuk memberikan setitik air untuk diteguk oleh orang kafir mahupun sesedut udara. Maha Suci Allah yang Maha Pemurah.

Sifat ar-Rahim hanya akan ditunjukkan kepada manusia yang beriman di akhirat nanti. Disebutkan bahawa ketika seorang muslim itu hampir2 memasuki neraka, maka dengan sifat ar-Rahim, Allah menyelamatkannya lalu memasukkannya ke dalam syurga. Sentiasa kita mendengar para alim ulamak mengatakan bahawa kita akan memasuki syurga dengan rahmat Allah. Bukan dengan amalan kita.

Ada manusia di akhirat nanti yang akan membawa segunung amalan, namun tidak diterima oleh Allah dan dicampakkan ke dalam neraka. Ada manusia yang membawa segunung dosa, dengan rahmat Allah, dia memasuki syurga.

Maka itu, janganlah kita mendabik dada mengatakan kita ini hebat dengan amalan kita. Dahi lebam akibat sujud bukanlah penanda aras sebagai ahli syurga.

Seorang sahabat pernah bertanya kepada Nabi s.a.w. perihal seorang sahabat lain yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. sebagai ahli syurga. Lalu sahabat itu ingin menyelidiki. Setelah diselidik, tiadalah amalan yang istimewa yang dilakukan oleh sahabat tersebut. Maka atas sifat ingin tahu, sahabat itu bertanya. Dikatakan bahawa dia tidak melakukan apa2 amalan istimewa, melainkan setiap kali terjaga dari tidur, dia akan menyebut nama Allah dan meninggalkan amalan mengumpat.

Apabila Allah mengarahkan manusia untuk berdoa, maka berdoalah. Pasti akan ditunaikan. Dengan syarat, manusia itu meninggalkan segala yang haram meliputi makanan, minuman, pakaian dan punca pendapatan. Nescaya Allah akan memakbulkan.

Allah akan memberikan pertolongan daripada sesuatu yang tidak disangka. Maka, janganlah di dalam permintaan kita, kita seperti memberikan arahan kepada Allah. Seperti kita meminta supaya Allah memberikan kita pekerjaan sekian, pada hari sekian, pada bulan sekian. Mintalah pada Allah dengan harapan yang menggunung.

Seperti mana ibu Musa a.s. yang menghanyutkan anaknya ke sungai sambil memohon semoga Allah memelihara anaknya daripada kekejaman Fir'aun. Sebaliknya, Allah menyelamatkan Musa a.s. dengan menghantarkan sendiri Musa ke istana Fir'aun. Walaupun Fir'aun mengetahui bahawa itulah bayi yang bakal meruntuhkan kerajaannya, namun Allah telah menyelamatkannya dengan cara mencampakkan kasih dan sayang di hati Asiah, isteri Fir'aun untuk memeliharanya. Dan akhirnya, Fir'aun juga kasih akan Musa a.s.

Begitu juga sewaktu Allah menyelamatkan Ibrahim a.s. ketika dibakar oleh Namrud. Allah tidak menghantarkan hujan untuk memadamkan api. Hatta Jibril sendiri ingin menolong Ibrahim a.s. Namun, kuatnya pergantungan Ibrahim a.s. kepada Allah s.w.t., maka Allah telah memerintahkan api supaya menjadi sejuk dan sejahtera ke atas Ibrahim a.s. (qulna yaa naaru quunii bardan wa salaman 'ala ibrahiim).

Allah akan membantu org miskin dalam kemiskinannya. Allah akan membantu org kaya dalam kekayaannya. Allah akan membantu org yang sakit dalam kesakitannya. Maha Suci Allah yang telah memudahkan segala urusan kita. Semoga Allah memandang kita dengan pandangan ar-Rahman dan ar-RahimNya di atas segala doa dan permintaan kita. Amiinn

No comments: